Sejarah SMVB

Sekolah Menengah Teknik Besut (SMTB) atau pada asalnya Sekolah Menengah Vokasional Besut, mula dibina pada bulan Januari 1986 di atas tapak seluas 13 hektar di mana pembinaan dibiayai melalui peruntukan Bank Pembangunan Asia (ABD). Terletak di Kampong Raja, 13 kilometer dari Bandar Jerteh. Sekolah ini mula beroperasi pada 20 Februari 1989.
Pengambilan pelajar untuk mengikuti berbagai kursus bermula pada bulan Februari 1989. Pelajar yang mendaftar ketika itu adalah seramai 243 orang yang terdiri daripada 238 orang pelajar lelaki dan 5 orang pelajar perempuan. Tenaga pengajarnya pula seramai 25 orang serta 3 orang kakitangan pejabat.
Sekolah ini menawarkan kursus-kursus seperti Automotif, Amalan Bengkel Mesin, Binaan Bangunan, Elektrik, Elektronik, Kimpalan Fabrikasi Logam serta Penyejukan dan Penyamanan Udara. Selain daripada peringkat Sijil Pelajaran Vokasional (SPMV), kursus-kursus tersebut juga ditawarkan pada peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
Pengetua pertama, Tuan Haji Mohamad @ Zakaria Bin Idris mula bertugas di sekolah ini pada tahun 1989 hingga 1995. Di bawah pentadbiran beliau, sekolah ini telah menempa beberapa kejayaan sama ada di peringkat daerah mahupun kebangsaan. Antara kejayaan yang dicapai ialah mendapat tempat ketiga dua tahun berturut-turut dalam pertandingan Kecantikan, Keceriaan dan Keselamatan Sekolah (3K) iaitu pada tahun 1994 dan 1995.
Dengan bermula sesi pengajian 1995/1996, sekolah ini dengan rasminya menggunakan nama baru iaitu “Sekolah Menengah Teknik Besut”. Sekolah ini juga menerima pengetua baru iaitu Tuan Haji Yusof Bin Abdullah. Pada masa ini terdapat 67 orang guru serta 11 orang kakitangan.
Komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua, sekolah ini telah dinaiktaraf menjadi Sekolah Menengah Teknik Besut bersama-sama 20 buah Sekolah Menengah Vokasional lain di seluruh negara. Seramai 240 orang pelajar telah diambil bagi mengikuti kursus-kursus iaitu Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan jentera dan Kejuruteraan Elektrik.
Berkat kepimpinan dan kerjasama semua pihak, sekolah ini telah menempa beberapa kejayaan yang lebih besar di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Sehingga pada tahun 1996 menjadi Johan Pertandingan Kecantikan, Keceriaan dan Keselamatan Sekolah (3K) Peringkat Kebangsaan. Pada tahun 1998, sekolah ini telah dipilih oleh Jabatan Pendidikan Teknikal (JPT) untuk melaksanakan MS ISO 9002. Sekolah ini juga telah menjadi Johan Anugerah Kualiti Menteri Pendidikan 1998, Johan Sekolah harapan Negeri 1999 dan mendapat Anugerah Johan Dalam Pengurusan Perakaunan Dan Kewangan Sekolah Peringkat Negeri dan Johan Peringkat Kebangsaan tahun 1999 dan mencapai prestasi cemerlang dalam akademik sejak tahun 1997 serta Johan dalam berbagai aktiviti ko-kurikulum. Sekolah ini juga pernah dilawati WHO dari Negara Mongolia dan China sebagai model Kesihatan Sedunia serta dilawati oleh pelajar-pelajar Universiti Jepun sebagai sekolah contoh.
Pengetua Tuan Haji Yusof Bin Abdullah AMN memulakan perkhidmatan di sekolah ini pada November 1995 dan mulai pencen pada 31 Disember 2000.
Mulai 01 Januari 2001, pengetua baru memulakan perkhidmatan di sekolah ini. Beliau ialah Tuan haji Abdullah @ Zawawi Bin Daud. Tuan Haji Muhamad bin Zakaria mengambil alih tugas Pengetua berkutnya setelah Tuan Haji Abdullah Zawawi berukar ke MP Sultan Mizan pada bulan Mei tahun yang sama. Pada 12 April 2004, Pengetua baru Tuan Haji Ismail bin Haji Ali menjawat jawatan Pengetua menggantikan Tuan haji Muhamad yang bertukar ke SMT Pengkalan Chepa sehingga sekarang.
Penolong Kanan pertama sekolah ini ialah En Yusof Adnan bin Babjan. Penolong Kanan kedua ialah Tuan Haji Abdullah Zawawi bin Yahya yang memegang jawatan itu selama lebih kurang empatbelas tahun sebelum bertukar ke SM Teknik Pengkalan Chepa pada 1 Jun 2006. Penolong Kanan sekarang dijawat oleh YM Raja Ismail bin Raja Kechik.
Pelajar terbaik yang pernah dilahirkan ialah Hafidzudin bin Haji Sam Hun. Pelajar ini mendapat 8-1A, 2-2A dan 1-1B dalam Peperiksaan SPM 2004 dan menjadi antara yang turut memperolehi anugerah palajar Cemerlang JP Tek. Sekolah juga julung julung kalinya memperolehi kejayaan 100% lulus dalam pepriksaan SPM 2005.Pada tahun 2007 seorang lagi pelajar mencipta keputusan yang terbaik iaitu 9 (1A) iaitu Sayyidaatul Nadia Bt Elias
Sekolah Menengah Teknik Besut adalah sekolah yang mempunyai persekitaran dan landskap yang menarik. Banyak anugerah yang telah dimenangi. Bermula dengan mendapat tempat kedua peringkat kebangsaan pada tagun 2002 dan 2003, sekolah menjadi Johan Pertandingan Landskap Peringkat Kebangsaan pada tahun 2004. Pada tahun 2006, sekali lagi sekolah menjadi naib juara kebangsaan bagi pertandingan antara juara-juara  landskap peringkat kebangsaan.
            Perubahan dalam pembangunan kurikulum teknikal dan vokasional sekolah-sekolah menengah teknik di Malaysia telah berlaku, di mana pengambilan aliran teknik telah dikurangkan. Pengambilan pelajar aliran teknik di Sekolah Menengah Teknik Besut telah dihentikan pada tahun 2010. Pada tahun 2011, Sekolah Menengah Teknik Besut terdapat hanya dua aliran sahaja iaitu aliran vokasional dan aliran kemahiran. Secara rasminya bermula 1 Januari 2011, sekolah ini telah menggunakan nama baru iaitu "Sekolah Menengah Vokasional Besut".
Semoga sekolah ini akan terus mencatat sejarah kegemilangan dari segala aspek pendidikan negara.